BERKAMPUNG DI BOOTCAMP UPKK 2021 HATIMURNI DEMI ILMU

KUALA LUMPUR, 29 & 30 Mac 2021 - HQ HATIMURNI telah berjaya menganjurkan program berskala besar pertama selama dua hari berturut-turut selepas sekian lama berperang dengan pandemik Covid-19 yang membataskan semua anjuran program dilakukan secara bersemuka. Bermula Mac 2021, dengan kebenaran pihak berkuasa, HATIMURNI telah menganjurkan program yang diselaraskan mengikut kepatuhan SOP.

HQ Hatimurni menggembleng tenaga menganjurkan BOOTCAMP UPKK 2021 di Dewan Laman Bestari AU3, Setiawangsa. Seramai 128 orang peserta di sekitar Lembah Klang yang menjadi calon peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2021 menyertai program bermanfaat ini. Demi ilmu, ada beberapa peserta dari jauh turut menghadiri program ini." />

Menggunakan tanda pagar #BimbingPersediaanCemerlangUPKK program bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir jam 5.00 petang ini dimulakan dengan rutin setiap pagi iaitu bacaan Al-Fatihah, Asmaul Husna serta senaman ringkas Xi Shua Shua, bagi membangkitkan semangat awal belajar. Berdasarkan pemerhatian awal, para pelajar Tahun 5 dan 6 yang akan mengambil peperiksaan UPKK ini belum bersedia sepenuhnya untuk menghadapi UPKK; baik daripada segi mental atau fizikal.

Program disusuli dengan pembentangan nota, teknik dan cara mengingat fakta yang disampaikan oleh speaker jemputan iaitu Ustaz Muhamad Hanafi yang merupakan guru KAFA JAWI subjek Sirah di Program KAFA D’Hijrah untuk siaran TV ALHIJRAH. Seterusnya, program diteruskan dengan teknik menjawab soalan Adab yang berkaitan dengan kehidupan seharian oleh Ustaz Mohd. Faizal yang berpengalaman selama 12 tahun dalam UPKK. Manakala, Ustazah Siti Hasliza; selaku Senior Licensing & Franchise yang merangkap Ketua Bahagian Peperiksaan HATIMURNI yang berpengalaman selama 14 tahun dalam peperiksaan UPKK menjadi speaker subjek Ibadah dan Bahasa Arab yang dianggap sebagai killer subject dalam UPKK.

Bukan sekadar program, HQ HATIMURNI juga membuat kejutan istimewa kepada para peserta dengan meraikan Sambutan Ulang Tahun Kelahiran bagi anak-anak yang lahir pada bulan Januari, Februari dan Mac. Menyaksikan keceriaan para peserta, slot khas istimewa diwujudkan sebanyak lima sesi iaitu BOOSTER BOOTCAMP yang sentiasa dinanti-nantikan kerana mereka bukan sekadar belajar menulis dan bercerita mengenai learning point bahkan sentiasa kekal cergas sepanjang program.

Menyedari keperluan memberi kefahaman dan interaksi tiga hala untuk merealisasikan projek Mumtaz UPKK juga, satu Taklimat Khas Mengenai Kepentingan UPKK dan Hala Tuju ke Sekolah Menengah turut diadakan dengan menjemput para ibu bapa peserta. Sesi taklimat ini disampaikan oleh Ustaz Mohd. Faizal selaku Penyelia KAFA Bahagian Persekolahan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI). Ia bertujuan untuk menjelaskan bagaimana sejarah UPKK diwujudkan, kepentingan sijil, pendaftaran sebagai calon peperiksaan, jumlah subjek yang menjadi penilaian dan sebagainya. HQ HATIMURNI melalui Ustaz Zulkarnain selaku Ketua Bahagian Operasi, tampil menyampaikan maklumat berkaitan TAQWIM MUMTAZ UPKK HATIMURNI 2021 dan program susulan selepas ‘Bootcamp UPKK’ ini.

Dengan itu, berakhirlah program BOOTCAMP UPKK 2021 yang diadakan sekaligus tercapai objektif untuk memastikan para pelajar bersedia dengan ‘Teknik Hafal Fakta Sirah’, ‘Teknik Cekap Mengingat Mufrodat, ‘Kenali Kaedah Rukun dan Syarat’ dan ‘Teknik Efektif Nota Tanpa Baca Buku’.

Justeru, HQ HATIMURNI telah mengorak langkah merangka beberapa program lanjutan untuk membantu para pelajar supaya mereka sentiasa lebih bersedia dan tampil berkeyakinan menjawab peperiksaan kelak.

 

Disediakan oleh : Ustazah Siti Hasliza binti Abdul Razak

Jawatan               : Senior Licensing & Franchise Executive

    (merangkap Ketua Bahagian Peperiksaan HATIMURNI)

Tarikh                   : 31 Mac 2021 (Rabu)